Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bersama timbalannya, Datuk Yong Lei Choo (kiri) melihat barang rampasan yang dipercayai mengandungi dadah dalam parti liar pada sidang media di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun dalam perintah sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19 namun masih ada pihak yang menganjurkan parti liar dan ‘berpesta’ dadah.

Buktinya, polis di ibu negara telah menyerbu sebanyak enam parti liar diadakan di daerah Dang Wangi dan Wangsa Maju baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam serbuan pihaknya bermula 1 Disember lalu sehingga semalam – 65 daripada 67 individu yang ditahan adalah positif dadah.

Menurutnya, modus operandi parti liar itu dibuat dengan menyewa premis persendirian atau bilik hotel.

“Kesemua yang diahan berumur 14 hingga 64 tahun daripada pelbagai bangsa dan warganegara, warga asing pun ada,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, polis juga merampas barangan makanan dan minuman yang dikatakan mempunyai dadah dalam parti liar berkenaan.

Antara barang rampasan polis dari serbuan ke atas parti liar dipercayai ada mengandungi dadah
pada sidang media di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2020.

Kes berkenan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu Saiful Azly memberi amaran kepada pemilik premis yang menyewakan premis atau bilik hotel sekalipun untuk tujuan parti liar boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Akhir-akhir ini semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  timbul pula maklumat terkini banyak parti-parti luar di kondominium, hotel dan premis persendirian.

Kesalahan itu, katanya,  boleh disabitkan hukuman tidak lebih lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette