Kemalangan di Simpang Pulai yang mengakibatkan tiga beradik maut.

IPOH – Tiga beradik maut manakala ibu mereka parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Simpang Pulai di sini petang ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, setahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Superintenden Mohamed Nordin Abdullah berkata ketika kejadian pada kira-kira 3.50 petang itu, kereta Perodua Axia yang dinaiki mangsa bersama ibu mereka iaitu Nur Aimi Nadiah Abdul Rahin, 27, dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang.

“Sebelum itu, sebuah lori kontena membawa muatan barang elektrik dari Shah Alam, Selangor ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan baja sawit dari Klang ke Bagan Serai dan telah masuk ke lorong kecemasan.

“Tiba-Tiba kereta dipandu Nur Aimi Nadiah hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar bahagian belakang lori kontena itu,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Nordin berkata akibat daripada kemalangan itu, tiga beradik lelaki tersebut yang beralamat di Taman Sri Gombak, Batu Caves meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mereka parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Katanya proses bedah siasat akan dijalankan pada petang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Lori kontena yang tersadai di lorong kecemasan perlu menyalakan lampu-lampu isyarat belakangnya supaya berkelip-kelap menandakan ianya berhenti untuk tidak diekori kenderaan di belakangnya.

Comments are closed.