Presiden Alumni Persatuan Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya, Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh bercakap kepada media selepas majlis bacaan yasin dan doa tahlil buat Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya. foto MOHD ADZLAN, 16 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Lepasan Asasi Sains (PLAS) Universiti Malaya (UM) menyifatkan jasa Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid terlalu besar kepada graduan Pusat Asasi Sains di universiti itu.

Presiden alumninya, Datuk Dr Wan Nazari Wan Jusoh berkata, allahyarham merupakan pencetus idea penubuhan pusat asasi itu yang kini ahli mencecah 30,000 orang.

Jasa allahyarham itu telah berjaya ‘melahirkan’ anak Melayu daripada golongan miskin dalam bidang kritikal di pelbagai fakulti.

Beliau berkata, Pusat Asasi Sains membuktikan Ungku Abdul Aziz bukan sahaja memiliki minda yang luas namun menjangkau pemikiran orang biasa termasuk ahli-ahli politik.

“Penubuhan Pusat Asasi Sains memastikan anak Melayu terutama golongan miskin berjaya dalam bidang perubatan, pergigian dan kejuruteraan.

“Ini yang membuatkan kami terhutang budi kepada allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yaasin & Doa Tahlil buat Ungku Abdul Aziz di sini malam ini.

Majlis yang diadakan di Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya dihadiri 30 jemaah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang hanya membenarkan 40 orang dalam satu-satu masa.

Para jemaah membaca surah Yasin ketika hadir ke majlis bacaan yasin dan doa tahlil buat Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 DISEMBER 2020.

Ungku Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court di sini pukul 4.30 petang Selasa lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 98 tahun akibat sakit tua.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 9.40 malam yang sama.

Mengulas lanjut, Wan Nazari juga turut menggambarkan Ungku Abdul Aziz sebagai insan yang sukar diramal pemikirannya.

Jelas beliau, ini kerana ketika berjumpa, soalan yang dilontarkan semula oleh allahyarham menyebabkan dirinya tidak dapat memberi jawapan.

“Pernah ada orang komplen agar Pusat Asasi Sains dimansuh namun ketika jumpa allahyarham yang mahu ia diteruskan. Saya tidak jangka pendirian arwah kerana ketika itu ada AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti).

“Apa yang boleh anak-anak muda Melayu belajar daripada allahyarham agar orang Melayu berfikir di luar kotak,” katanya lagi.

Sementara itu, Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan pada tahun 1922 di London, England telah mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru.

Beliau memperoleh Diploma Sastera di Raffles College, Singapura pada tahun 1947 dan Bacelor Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1951.

Pada tahun 1952 beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang ekonomi di UM.

Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai tahun 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada tahun 1965 hingga 1968.

Pada tahun 1964 beliau memperoleh ijazah Kedoktoran (PhD) Ekonomi dari Universiti Waseda,Tokyo, Jepun.

Ungku Aziz menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor, UM selama 20 tahun dari tahun 1968 hingga 1988.

Allahyarham juga pencetus kepada idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM untuk membantu orang Melayu dalam kalangan golongan miskin.

Ungku Aziz dikenali menerusi idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika menulis kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji’ kepada kerajaan pada 30 September 1959 sebelum lahirnya konsep TH hari ini.

TH kemudian ditubuhkan pada 30 September 1963 sebelum konsep diperkenalkan Allahyarham itu diperbaharui pada tahun 1969 apabila digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji.

Ungku Aziz adalah salah seorang yang terbabit dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1971.

Allahyarham turut melakar kejayaan sebagai pencetus idea penubuhan sekali gus menjadi Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada Mac 1971. – MalaysiaGazette