Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,220 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes positif kini sebanyak 89,133 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu sebanyak 14,671 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid19 dalam negara adalah sebanyak 1,214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes atau 30.2 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 247 kes atau 67.1 peratus adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes atau 24.3 peratus dan Sabah sebanyak 184 kes atau 15.1 peratus.

“Sebanyak 135 kes atau 11.1 peratus yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 98 kes, Kluster Tembok (36 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai sebanyak satu kes,” katanya dalam satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 106 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, terdapat pertambahan tiga kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak itu adalah sebanyak 432 kes atau 0.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,297 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 74,030 kes atau 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette