KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 pada Selasa lalu.

Ucapan itu disampaikannya ketika hadir pada majlis makan tengahari bersama anggota Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) di Parlimen semalam.

Jelas beliau, sokongan itu merupakan bukti keprihatinan Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan dalam masa yang sama memacu ekonomi negara.

“Dalam ucapan ringkas pada acara itu, saya merakamkan penghargaan kepada semua wakil rakyat, khususnya PNBBC atas sokongan yang diberikan sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat, semalam.

“Sokongan itu membuktikan keprihatinan dan kebersamaan semua Ahli Parlimen Kerajaan dalam menentukan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya menerusi laman Facebook.

Pada Selasa yang lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas dibentangkan buat kali ketiga, diluluskan di Dewan Rakyat apabila 111 Ahli Parlimen menyokong dan 108 orang tidak bersetuju manakala seorang tidak hadir.

Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen PN agar sentiasa menjalankan tanggungjawab kepada rakyat khususnya di kawasan masing-masing.

“Saya juga mengingatkan tentang kepentingan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan menjaga kawasan yang diwakili sebaiknya,” tambahnya. -MalaysiaGazette