Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Harapkan pagar, pagar makan padi!

Seorang warga Korea yang merupakan paderi Gereja Persatuan Orang Pekak Malaysia ditahan polis pada 23 November lalu atas dakwaan mencabul kehormatan pengikutnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) di Pulau Pinang dan Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Paderi berkenaan akan didakwa di Mahkamah Butterworth pada Isnin depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menerima sebanyak enam laporan polis daripada mangsa.

Menurutnya, laporan pertama telah diterima pada 12 November lalu diikuti lima lagi laporan susulan rentetan kejadian itu membabitkan lima orang mangsa terdiri daripada lima lelaki Cina tempatan berusia lingkungan umur 27 hingga 40 tahun yang merupakan OKU pekak dan bisu.

Kesemua mangsa adalah lelaki dan didakwa dicabul oleh suspek sepanjang enam tahun termasuk di dalam gereja, rumah sewa dan di dalam kereta.

Menurut Huzir, keenam-enam laporan polis yang diterima itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul kehormatan – lima kertas siasatan telah dibuka di Pulau Pinang dan satu di Selangor.

Katanya, kesemua mangsa merupakan penganut Kristian dan juga ahli persatuan OKU yang kerap menghadiri kelas keagamaan dan aktiviti gereja di sekitar Pulau Pinang dan Selangor.

“Siasatan polis mendapati suspek (paderi) adalah warga Korea berumur 54 tahun yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak yang mana keluarganya berada di Korea manakala suspek datang ke Malaysia atas pelawaan oleh pengasas persatuan orang pekak untuk menjadi paderi dan mengajar Bible di gereja tersebut sejak tahun 1998.

“Modus operandi suspek ialah dengan memulakan perkenalan semasa mangsa menghadiri kelas keagamaan dan menjalankan aktiviti di gereja.

“Ketika itulah suspek mencabul mangsa dengan cara menyentuh, memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluan mangsa. Kesemua kejadian itu berlaku di gereja, dalam kereta dan rumah sewa suspek antara tahun 2011 hingga tahun 2016.

“Namun mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering mempengaruhi mereka dengan mengatakan beliau merupakan seorang pemimpin dan mereka perlu menuruti setiap arahannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Huzir, hasil siasatan mendapati sebanyak enam cawangan persatuan terbabit dengan suspek di negara ini iaitu empat di Semenanjung meliputi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Perak.

Manakala dua lagi di Sibu dan Kuching, Sarawak, katanya.

“Suspek akhirnya berjaya ditangkap pada 23 November lalu dan direman selama tujuh hari dari 24 hingga 30 November lalu di IPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang sebelum dikuarantin sehingga 8 Disember lalu kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan lokap yang disahkan positif Covid-19.

“Suspek telah ditangkap semula bersabit laporan polis di Kepala Batas dan direman empat hari bagi siasatan dua kes di Pulau Pinang dan kini direman enam hari mulai 13 hingga 18 Disember ini bersabit laporan polis di Petaling Jaya untuk membantu siasatan lanjut.

“Suspek akan dituduh sebanyak dua pertuduhan di Mahkamah Butterworth pada 21 Disember ini iaitu Isnin depan,” tegasnya.-MalaysiaGazette