Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) mencapai enam bintang dalam Penarafan Bersepadu
Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) untuk tahun 2018/2019.

IPT itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia.

Ini diikuti 30 IPT yang mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT mencapai empat bintang, 15 buah IPT mencapai tiga bintang, dua IPT dengan penarafan dua bintang dan hanya sebuah IPT sahaja yang mendapat penarafan satu bintang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 14 buah kolej swasta berjaya mencapai enam bintang dalam penarafan Sistem Penilaian Kualiti dan
Kesetaraan Kolej Swasta (MyQuest).

“Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang, Kolej Antarabangsa Putra, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa Sains Mantin.

“Ini diikuti oleh 54 buah kolej yang mendapat penarafan lima bintang, 88 buah mencapai empat bintang, 40 buah kolej dengan tiga bintang dan 11 buah kolej telah diberi penarafan dua bintang,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, penarafan IPT tempatan bagi sesi 2018/2019 menunjukkan bahawa IPT telah melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

“Perkembangan ini juga memperlihatkan bahawa sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik, kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di Malaysia,” ujarnya.

Penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat fungsi teras utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan.

Manakala, penarafan MyQuest dinilai melalui 35 indikator yang merangkumi dimensi input, proses dan output yang memberi penekanan kepada lima (5) teras utama iaitu kualiti dan kepelbagaian pelajar, kelestarian sumber dan kewangan, sistem pengurusan kualiti, pengiktirafan program dan pengiktirafan graduan dan reputasi institusi.

SETARA dan MyQuest menggunakan sistem penarafan bintang daripada skala satu bintang hingga enam bintang.

Enam bintang menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada tahap cemerlang dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa manakala satu bintang menunjukkan IPT tersebut kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria minimum. – MalaysiaGazette