Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kenaikan harga bawang menjadi antara aduan paling banyak diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac yang lalu.

Justeru pihak kementerian telah menjalankan operasi pemantauan melibatkan harga bawang di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 339 pemeriksaan telah dilaksanakan dan sebanyak 302 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada pemborong, peruncit dan pengimport yang telah didapati menaikkan harga bawang.

“Para peniaga akan diberikan tindakan dan disiasat sekiranya wujud aktiviti pecatutan dalam kalangan mana-mana peniaga tersebut dengan mengikut tindakan yang disalurkan melalui penguat kuasa”, katanya dalam sidang media hari ini mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 di sini hari ini.

Menurut Alexander, hasil pemantauan penguat kuasa KPDNHEP mendapati bekalan bawang kini memang semakin meningkat di pasaran.

“Selain itu, sebanyak 98 peratus hasil daripada pemantauan kedai runcit yang terpilih di daerah dedicated district retailers (DDR) mendapati hasil bekalan bawang di pasaran telah meningkat.

“Dengan maklumat sebegini dapat membuktikan bagaimana pihak pemantauan di kementerian menjalankan tugas mereka dengan begitu gigih dan menyeluruh.

“Jadi segala masalah ini kementerian dapat diketahui dengan secepat mungkin,” ujarnya.-MalaysiaGazette