Salah satu penerbitan bertajuk 'Gay is OK! A Christian Perspective' yang dikenakan Perintah Larangan oleh KDN.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan buku bertajuk Gay Is OK! A Christian Perspective dan buku berjudul Peichi.

Perintah larangan terhadap buku Gay Is OK! A Chrisitian Perspective itu dilakukan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November 2020 dan Peichi melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember lepas.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan dalam kenyataan hari ini berkata, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam,” katanya.

Tambah Wan Ahmad, kandungan penerbitan bertajuk Gay is OK! A Christian Perspective dilihat cuba mempromosi budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

Menurutnya, amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

“Manakala penerbitan bertajuk Peichi memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.

“Mereka boleh, apabila disabitkan dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301 tersebut,” katanya lagi.

Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan di atas atau mana-mana penerbitan yang dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, KDN di talian telefon 03 – 88868047 atau faks 03 – 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.- MalaysiaGazette