KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan 13 program pengajian di peringkat Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2020/2021 ambilan Mac 2021 yang telah dibuka secara atas talian bermula 7 Disember 2020 hingga 7 Januari 2021.

Menurut Pengarah di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), Prof Madya Dr Zainur Rijal Abdul Razak, program yang ditawarkan ini adalah mengikut persetujuan yang diberikan kepada fakulti yang terlibat berdasarkan kekosongan tempat dan unjuran kemasukan yang ditetapkan.

”Untuk ambilan Mac tahun hadapan, USIM menawarkan 13 program pengajian dari lima fakulti iaitu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

”Pengambilan kedua ini dibuka adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda dengan memohon kemasukan terus ke USIM tanpa menunggu kemasukan seterusnya iaitu pada Sesi Akademik 2021/2022 yang akan bermula pada sekitar bulan Oktober 2021,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah program yang dibuka adalah terhad berbanding ambilan semester arus perdana (Oktober) kerana ambilan kedua ini hanya untuk mengisi baki kekosongan yang masih ada sahaja.

Justeru, pelajar yang layak dan ingin menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda untuk memanfaatkan peluang ini dan seterusnya menjadikan USIM sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan mereka, katanya.

Menurut beliau, kemasukan untuk ambilan Mac 2021 ini dibuka kepada semua pelajar lepasan STPM / STAM / Matrikulasi / Diploma / Asasi Universiti Awam dan setaraf yang memenuhi syarat kemasukan ke USIM.

Permohonan boleh dibuat secara atas talian di https://eug.usim.edu.my dan dikenakan yuran proses sebanyak RM100.00.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai iklan kemasukan Ambilan Mac 2021 ini, bakal pelajar dan ibu bapa boleh terus melayari laman web USIM di admission.usim.edu.my atau di laman Instagram PPKP di @usimadmissions.

Selain itu, calon pelajar yang berminat juga boleh menghubungi PPKP di talian 06-7988057 atau 06-7978626 atau emailkan pertanyaan kepada [email protected] atau [email protected].

Terdahulu, seramai 2803 pelajar telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda melalui kemasukan arus perdana pada bulan Oktober 2020. – MalaysiaGazette