Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,153 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 998 kes sembuh.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 91,969 kes dan jumlah kes sembuh adalah 76,242 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,151 kes.

“Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 401 kes (34.8 peratus) diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 281 kes (24.4 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 199 kes (17.3 peratus) manakala Perak merekodkan 82 kes, Johor 75 kes dan Pulau Pinang 30 kes.

“Sebanyak 176 kes atau 15.3 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga kini terdapat 112 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 56 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr. Noor Hisham turut memaklumat bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 433 kes atau 0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kematian ke-433 itu adalah kes ke 75,991 merupakan seorang wanita asing warga emas berusia 76 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Pulau Pinang.

“Pesakit itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan dislipidemia,” kata beliau. – MalaysiaGazette