Seramai 35 Pendatang Asing Tanpa Izin warga Indonesia ditahan pihak berkuasa dalam Op Benteng. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang menunggu untuk pulang ke Indonesia dengan menggunakan laluan haram di perairan negara.

Malah pasukan keselamatan turut merampas dadah jenis syabu daripada salah seorang PATI itu yang cuba menyeludupnya.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), kejadian itu berlaku di sektor Op Benteng di bawah  tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada jam 11.20 malam semalam.

“Melalui maklumat daripada orang awam yang melaporkan terdapat pergerakan dan aktiviti PATI sedang berkumpul secara meragukan di persisiran Pantai Kampung Sungai Rengit, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

“Pada jam 10.45 malam, anggota Pos Pemerhati turut berjaya mengesan dua buah bot sedang berlegar di kawasan Pulau Che Kamat berhampiran Pantai Kampung Sungai Rengit.

“Pasukan bertindak menghubungi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan tersebut dan pada masa sama, tim Quick Reaction Force turut digerakan bagi membuat penjejakan,” katanya.

Seramai 35 Pendatang Asing Tanpa Izin warga Indonesia ditahan pihak berkuasa dalam Op Benteng.

Tambahnya, kesemua suspek tangkapan terdiri daripada 32 lelaki dan tiga perempuan yang berusia antara 21 hingga 57 tahun.

“Semasa pemeriksaan dilakukan di Markas Taktikal Tanjung Sepang telah menemui salah seorang PATI tersebut memiliki dadah syabu dianggarkan seberat 750 gram yang dibungkus dalam 15 bungkusan plastik.

“Individu tersebut merupakan warga Indonesia berusia 32 tahun itu juga mempunyai sejarah perjalanan sebanyak tiga kali memasuki Malaysia melalui jalan tidak sah dan berjaya dicekup untuk tidakan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM110,422.26 melibatkan wang tunai Ringgit, RM18,319.44, matawang Indonesia IDR50,587,200 (RM14,527.06) serta beberapa matawang lain,” ujarnya.

Turut dirampas telefon pintar pelbagai jenama, barangan kemas, jam tangan dan dadah jenis Syabu seberat 750 gram yang dianggarkan bernilai RM41,250.

Kesemua PATI yang ditahan itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.