Arifai Tarawe

GOMBAK – Polis menahan tiga warga Myanmar dalam satu serbuan di Taman Prima Selayang, Batu Caves kerana disyaki mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mereka ditahan polis Bahagian Narkotik Gombak di hadapan sebuah pasar mini pada jam 10.05 pagi kelmarin.

“Kita menahan ketiga-tiga suspek bersama kereta Honda City sebelum merampas tiga paket plastik lutsinar berisi bahan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dijumpai di dalam motokar jenis Honda City.

“Manakala pemeriksaan dalam satu lagi kenderaan Perodua Kembara pula polis berjaya menemui dan merampas dua paket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu yang disyaki dadah jenis Heroin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, ujian saringan air kencing yang turut dijalankan keatas ketiga-tiga saspek didapati positif methamphetamine (syabu).

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 24 Disember ini untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek berusia 29 hingga 46 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Nilai rampasan syabu seberat tiga kilogram adalah RM135,000 manakala heroin hampir 1 kilogram anggaran bernilai RM10,000,” ujarnya. – MalaysiaGazette