Nawawi Ahmad (tengah) melakukan penyerahan simbolik cermin mata kepada Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Kedah, Ahmad Shukri Shafie (tiga, kiri) semasa majlis penyampaian sumbangan program Better. Brighter. Vision di Langkawi, Kedah, Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 106 pelajar sekolah rendah dan 115 pelajar sekolah rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan (B40) di Langkawi menerima cermin mata percuma menerusi program Better. Brighter. Vision Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Program ini bermula sejak tahun 2019, hasil kerjasama antara TNB dan Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn.

Sumbangan disampaikan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad kepada guru besar dan pengetua dari 16 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah yang terlibat.

”Program sumbangan cermin mata percuma ini diperkenalkan TNB tahun lalu bertujuan membantu proses pembelajaran pelajar, sekali gus mendapat manfaat dalam pendidikan.

“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi asbab untuk anak-anak meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih sejahtera,” kata Nawawi.

Jelas Nawawi, TNB memahami kekangan pelajar yang mengalami masalah penglihatan untuk mendapatkan cermin mata memandangkan mereka datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Bagi negeri Kedah tahun ini, program Better. Brighter. Vision turut mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM270,850 dengan keseluruhan 2,000 pelajar menerima manfaat. – MalaysiaGazette