Mah Hang Soon
KUALA LUMPUR – Hasil perbincangan selama sembilan bulan dengan pelbagai pertubuhan Cina, mereka telah mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk menambahkan pengenalan tulisan Cina, Tamil, Bahasa Kadazandusun dan Iban, selain melaksanakan pengenalan tulisan Jawi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata, beliau giat bertemu dengan wakil pertubuhan pendidikan Cina sejak Mac lalu, termasuk mendapatkan maklum balas mereka tentang pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks.
Beliau berkata, cadangan memasukkan pengenalan lebih banyak bahasa boleh meningkatkan pengetahuan pelajar dan mengatasi kontroversi berhubung pengajaran tulisan Jawi.
“Kami perlu memberitahu bahawa Malaysia merupakan negara masyarakat majmuk yang mempunyai etnik Kadazandusun serta Iban selain tiga kaum utama,” katanya dipetik Sinchew Daily.
Menurutnya, beliau optimis mengenai penerimaan cadangan tersebut oleh Kementerian Pendidikan.
Hang Soon bagaimanapun menegaskan, ia sekadar memperkenalkan pengetahuan mengenai bahasa-bahasa dan bukannya mengajar kemahiran berbahasa.
Katanya, walaupun beliau mengambil berat akan isu semasa itu, tetapi keputusan oleh Kabinet pentadbiran terdahulu hanya boleh ditukar melalui mesyuarat Kabinet semasa.
Sementara itu, Hang Soon berkata, semasa berbincang dengan Menteri Pendidikan, mereka ada meneliti supaya pengajaran dijalankan mengikut tema (thematic learning).
“Kami tidak mahu terkandas dalam isu ini atau terus bergelut sehingga keadaan menjadi lagi sukar.
“Kenapa tidak mencari jalan baharu untuk mengatasi apa yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Pribumi Iban, Kadazan, Melanau, Bajau, Bidayuh, dan Dayak lebih berhak dapat sekolah vernakular masih belum dapat sesen pun. Manakah hak samarata dan keadilan untuk mereka?

  2. Memang cantik jika Bahasa Anak Negeri di perkenalkan disekolah sebagai pilihan tetapi Jawi wajib sebab Jawi ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa Cina aku tak pasti apakah ia bahasa Anak Negeri ?Jika memang ia bahasa Anak Negeri boleh juga diajar.

  3. Setuju sangat lah cadangan itu. Bukan jawi sahaja tetapi tulisan lain juga patut diajar terutama tulisan yang ada dimalaysia ini. Mandarin tamil dan tulisan thailand. Semua rakyar patut kenal tulisan itu sebutannya dan maksud nya. .

Comments are closed.