Klopp dan Liverpool diangkat sebagai jurulatih dan pasukan terbaik Personaliti sukan BBC 2020

LONDON – Jurgen Klopp dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik manakala Liverpool pula diangkat sebagai pasukan terbaik Anugerah Personaliti Sukan BBC 2020.

Klop menerima anugerah itu selepas membantu pasukannya digelar juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/20, sekali gus menamat badi penantian 30 tahun.

Ia merupakan piala ke-19 untuk pasukan the Kops selepas kali terakhir menjuarainya pada 1989/90.

Manakala kejayaan Liverpool menamatkan saingan dan merangkul piala EPL dengan perbezaan 25 mata daripada pesaing di tempat kedua membolehkan pasukan itu diangkat sebagai pasukan terbaik untuk anugerah itu.

Malah Liverpool juga mencipta rekod satu-satunya pasukan yang diumumkan sebagai juara lebih awal berbaki tujuh perlawanan sebelum tamat musim itu.

“Pasukan saya layak untuk anugerah ini kerana melakar kejayaan menarik menerusi bakat, karakter, keazaman dan kuasa kelab mengejar kejuaraan tanpa berputus asa membantu rangkul gelaran ke-19 itu,” ujarnya.-MalaysiaGazette