Gambar hiasan

KOMEN bekas Perdana Menteri terhadap perkembangan politik tanahair terkini berkenaan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus negara yang baik (good governance) merujuk kepada realiti dan keadaan kepimpinan juga keresahan politik kini. Menurut pemerhatian beliau kedaulatan undang-undang boleh disalahguna lalu menjadikan keadilan tidak tercapai seperti diimpikan.

Akibatnya ahli politik yang korup boleh terlepas tindakan undang-undang apabila gagal disabitkan penyalahgunaan kuasa. Apabila ahli pentadbir negara mendapat kuasa atau ahli politik menggunakan kuasa yang ada di bawah peruntukan undang-undang negara yang sedia, jika keputusan atau hasilnya tidak selari dengan kehendak ramai atau segelintir masyarakat, adakah undang-undang itu yang salah atau pentadbirnya yang salah? Mengapakah semuanya terjadi walaupun dikatakan pihak-pihak berwajib bertindak berlunaskan undang-undang? Fenomena sebegini bukan perkara baharu samada di Malaysia atau luar negara, malah negara-negara maju sekalipun mengalaminya.

Dalam pembicaraan akademik berkenaan hal ini, ada beberapa konsep yang perlu difahami dan didalami di sini iaitu konsep keadilan, kedaulatan undang-undang dan urus tadbir yang baik.Keadilan maksudnya meletakkan sesuatu pada tempatnya.Kedaulatan undang-undang (rule of law) ialah pada dasarnya bermaksud satu prinsip govenan yang mana orang, institusi, entiti sama pihak persendirian atau awam termasuk negara sendiri, bertanggungjawab pada undang-undang yang diwartakan, saksama pelaksanaannya, dan dibicarakan secara bebas, bertepatan dengan norma-norma dan piawaian hak-hak kemanusiaan antarabangsa.Terdapat beberapa prinsip-prinsip penting dalam kedaulatan undang-undang iaitu keulungan undang-undang, kesamaan dalam undang-undang, kewajipan pada undang-undang, keadilan dalam pelaksanaan undang-undang, pemisahan kuasa, mengambil bahagian dalam membuat keputusan , kepastian undang-undang, menghindari keputusan sembarangan juga ketelusan prosedur dan undang-undang.

Manakala urus tadbir yang baik ialah bagaimana mengendalikan dan menguruskan hal-hal juga sumber-sumber umum secara optimum dan berkesan.Antara prinsip umum urus tadbir yang baik ialah mengikut prinsip kedaulatan undang-undang, beretika, efisien dan efektif, telus dan terbuka dan pelbagai jenis prinsip lagi. Jadi secara dasarnya dapat difahami bahawa ciri-ciri tadbir urus negara yang baik ialah mengikut lunas undang-undang negara, jika sebaliknya ia adalah tadbir urus negara yang buruk.Jadi persoalannya ialah adakah undang-undang negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta-Akta atau urus tadbir yang sedia ada, tidak bagus dan berkesan kerana menyebabkan ia boleh dimanipulasikan untuk kepentingan diri sendiri, parti atau golongan tertentu?

Untuk mensabitkan seseorang dengan pertuduhan jenayah atau sivil adalah menjadi satu keperluan undang-undang untuk memenuhi segala elemen-elemen dalam pertuduhan jenayah tersebut. Selain itu pendakwaan memerlukan bukti-bukti yang kukuh juga kadar pembuktian yang kuat. Maka hakim setelah menilai dan menghakimi mengambil kira-faktor faktor tersebut dalam menjatuhkan hukuman.Jadi apabila tidak cukup bukti atau pertuduhan yang tidak cukup walau sentimen kuat yang berlegar di kalangan masyarakat maka yang tertuduh mungkin masih boleh terlepas dari hukuman. Ini kerana belum seseorang yang dituduh itu belum tentu bersalah sehingga mahkamah mensabitkan kesalahannya. Lagi teruk jika ia diheret ke pengadilan akibat satu fitnah yang
merosakkan nama baik individu dalam masyarakat. Oleh itu peranan mahkamah dalam memutuskan kes-kes adalah perlu demi untuk keadilan dan kesejahteraan individu juga masyarakat.

Fenomena seperti pengadilan oleh media adalah sesuatu yang tidak sihat jika berlaku atau berleluasa dalam masyarakat kerana masyarakat sudah menjatuhkan hukuman sebelum kes habis dibicarakan.Maka itulah maksim undang-undang seperti subjudis adalah perlu demi untuk mengekang orang ramai dari membicarakan dan memberi komen atas kes yang sedang berjalan di mahkamah atau mereka boleh disabitkan kesalahan menghina mahkamah. Kini adalah menjadi satu fenomena di media sosial yang mana orang ramai suka membicarakan kes yang sedang berjalan yang belum tentu jatuh hukumnya si tertuduh.

Penggubalan dan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah perlu bagi mengekang penularan budaya yang tidak sihat seperti netizen membawang secara berjemaah, juga peranan ‘cyber trooper’ yang mungkin diupah oleh segelintir ahli politik bermatlamat dan bertujuan politik masing-masing.Masyarakat perlu dididik bukan untuk menghentam dan memberi komen secara semberono malah harus menyalurkan pendapat mereka secara lebih rapi dan beretika.Masyarakat harus dididik untuk berfikir secara kritis dan menyuarakan pendapat dan kritikan secara membina dan konstruktif yang dapat membangunkan lagi masyarakat, bangsa dan negara.Tamadaun yang hebat lahir dari masyarakat yang hebat yang harus mempunyai mentaliti kelas pertama.

Berbalik pada persoalan kedaulatan undang-undang negara yang dilaksanakan oleh pemerintah yang menggunakan mandat dan kuasa yang diberi. Maka menurut prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang setiap ahli masyarakat juga pemerintah perlu diadili secara saksama menurut peruntukan undang-undang. Oleh itu isu-isu etika dan moral ahli politik yang boleh dibeli dengan wang dan kuasa yang membuatkan dewan negeri dibubarkan kerana berkurangan majoriti parti yang memerintah terlihat menunjukkan kelompongan pada undang-undang itu sendiri. Kes-kes ahli politik yang menyokong kerajaan meninggalkan kerajaan difikirkan mungkin kerana terdapat unsur rasuah dan wang. Oleh itu selain keperluan kedaulatan undang-undang, masyarakat juga perlu ahli politik yang bermaruah dan beretika yang bukan bekerja semata-mata untuk kehendak parti, diri sendiri tetapi juga pengundi dan negara.

Konsep demokrasi berkeperluan rakyat dan pemimpin mengikut lunas undang-undang negara. Oleh itu persoalannya apabila rakyat diseru mengikut lunas undang-undang, bagaimana pemimpin pula menghayatinya dan melaksanakannya ?Jangan pula seperti kata pepatah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Oleh itu terdapat kepentingan dan keperluan badan-badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar kerajaan mengikut lunas undang-undang negara juga antarabangsa. Selain itu peranan parti pembangkang sepatutnya bersifat bukan pengacau dan bukan setakat membangkang semata-mata dalam segala hal tetapi berperanan dalam menyemak dan menyeimbangkan kerajaaan yang sedia ada bagi tujuan penambahbaikan dan ketelusan.

Persoalannya di manakah salahnya kedaulatan undang-undang negara? Adakah rakyat, pengundi, ahli politik atau pemerintah ?Waktu pandemik bukan masa untuk berpolitik dan merebut kuasa tetapi membangunkan negara.Kekecewaan dilihat oleh rakyat seolah-olah tiada beza siapa dan parti mana yang diundi setelah sekian lama.Sehinggakan parti politik dilihat seolah sama sahaja belah mana -mana pun.

Adakah salah sistem demokrasi yang dijadikan ideologi? Maka tepuk dada tanyalah diri sendiri. Apabila undang-undang dan urus tadbir yang baik telah berada pada landasan yang betul, maka ahli politik juga pentadbir sepatutnya tidak cenderung dengan parti politiknya atau berkepentingan peribadi. Pentadbir juga pemimpin negara perlu menggunakan kuasa dengan hikmah kerana kuasa adalah tanggungjawab yang akan membuatkan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan kelak.Kuasa perlu diguna dengan adil seharusnya tidak boleh menyebelahi dan mendiskriminasi mana-mana pihak.Sikap beretika, bermoral, amanah adalah penting dalam kepimpinan.Rakyat sebagai pengundi berhak menegur dengan berfikir, bertindak juga memberikan pandangan secara konstruktif dan membina bukan menghentam dan cadangan untuk memperbaiki bukan menghukum dan menempelak.Selain itu penambahbaikan undang-undang juga perlu seperti undang-undang menghalang lompat parti dan sebagainya bagi melahirkan etika, moral dan integriti bagi mendokong konsep ideologi demokrasi yang dipilih, iaitu dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat.

Dr.Noor Dzuhaidah Osman, Professor Madya Dr.Hazmi Rusli
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia