Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berjalan keluar selepas majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara Lembaga Tabung Haji dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd di Menara VSQ 1, Jalan Utara, Petaling Jaya. foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA-  Tidak ada kompromi dalam isu halal dan haram, termasuk isu kartel daging import.

Namun ia perlu didahului dengan maklumat dan bukti selain pihak yang mengesan serta mempunyai maklumat mengenai manipulasi tanda halal diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penyaluran maklumat penting bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya terdapat isu berkaitan halal dan haram.

“Apa-apa terkait halal dan haram akan kita ambil tindakan yang sungguh-sungguh.

“Bagi saya laporan dan biarlah ia terperinci untuk memudahkan kami melaksanakan tugas kami.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan peringkat negeri untuk buat sebarang keputusan berdasarkan isu seperti ini (halal dan haram),” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Berita Harian yang mendedahkan terdapat kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandinya itu antara lain dipercayai ialag dengan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Baru-baru ini Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman menegaskan tidak ada anggota penguat kuasa yang terlibat dalam kes kartel daging import haram yang dibongkar di Senai, Johor baru-baru ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.