KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil alternatif mengimport bawang dari negara lain seperti Pakistan, China dan Thailand dalam usaha menangani kekurangan bekalan bawang dari India.

Disebabkan kekurangan itu, harga bawang yang diimport dari India naik mendadak dari RM12 hingga RM18 sekilogram.

Timbalan Menteri KPDHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan terus memantau harga bawang ini dengan lebih kerap dan mengambil tindak kementerianan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

“Setakat ini, kita telah memeriksa 336 premis dan sebanyak 31 notis telah kita keluarkan terhadap peniaga yang cuba mencatu serta cubaan mengambil keuntungan. Kita ambil tindakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2020 serta Kempen Membeli Barangan Malaysia di Publika Solaris sebentar tadi.

Tambah beliau, pengimportatan bawang di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), sementara KPDNHEP pula bertindak memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Pada 14 September lalu, kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir pada Julai 2020.

Susulan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport telah mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand. – MalaysiaGazette