Operasi kereta kabel di resort ski di Pyeongchang, Korea Selatan digantung. foto Agensi

SEOUL – Korea Selatan mengarahkan semua pusat peranginan ski dan tempat pelancongan musim sejuk ditutup dalam usaha untuk menghentikan penyebaran novel koronavirus memandangkan gelombang ketiga ini lebih sukar dibendung.

Mulai 24 Disember hingga 3 Januari, kerajaan akan menutup kemudahan ski dan tempat-tempat pelancongan, yang popular pada musim akhir tahun, kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun, ketika memberi taklimat di televisyen.

Perhimpunan lebih daripada empat orang juga tidak akan dibenarkan, katanya.

Sementara kawalan anti-virus yang lebih ketat akan dikenakan di restoran untuk mengurangkan jangkitan.

Pengumuman itu dibuat setelah Seoul dan sekitarnya dilarang mengadakan perhimpunan lebih dari empat orang sepanjang cuti Krismas dan Tahun Baru selepas Korea Selatan mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi koronavirus pada hari Isnin.

Korea Selatan melaporkan 869 kes koronavirus pada Isnin, kata Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) pada hari Selasa, turun berbanding 1,097 kes yang dilaporkan pada hujung minggu.

Lonjakan kes Covid-19 telah menggegarkan negara ini sejak berbulan.

Angka jangkitan terbaharu itu menjadikan jumlah kes sebanyak 51,460dengan 722 kematian. – MalaysiaGazette