Barang rampasan penipuan pelaburan dan Macau Scam oleh IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan dan Macau Scam menyasarkan pelanggan warga China yang beroperasi di sebuah kondominium mewah ditumpaskan polis.

Tiga lelaki warga China berusia antara 28 hingga 34 tahun telah ditahan kerana disyaki anggota sindiket yang mengoperasikan pelaburan haram itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, IPD Dang Wangi dan Bukit Aman menyerbu salah sebuah unit di kondominium yang terletak di Jalan Doraisamy, di sini pada jam 3.30 petang semalam.

“Hasil serbuan ketiga-tiga suspek sedang berurusan dengan pelanggan pelaburan Macau Scam di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihak p;olis berjaya membuat rampasan 40 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer pelbagai jenama, wang tunai negara China berjumlah 1,168.00 Yuan dan wang tunai berjumlah RM5,011

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula pada 22 hingga 25 Disember 2020 di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota kumpulan judi daun terup yang dicekup dalam serbuan ketiga di Jalan Conley oleh polis IPD Dang Wangi.

Seterusnya, pada hari yang sama pada jam l5.30 petang, pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi telah membuat dua serbuan berasingan di sebuah kediaman di Jalan Conlay di sini.

Menurut Mohamad Zainal, dalam serbuan kedua itu, seorang lelaki warga China berusia 35 tahun telah ditangkap dan hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek polis merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan lima buah komputer riba pelbagai jenama.

Tambah beliau, suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

“Susulan dari operasi tersebut, serbuan ketiga telah dijalankan pada jam 6 petang yang mana seramai tujuh orang yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua orang wanita warga tempatan, dua wanita warga Thailand dan Vietnam yang berusia dalam
lingkungan 21 hingga 33 tahun telah ditangkap.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik mereka polis turut merampas 112 keping daun terup; empat helaian kertas catitan perjudian, dua keping kad akses, seunit lampu mini disko, seunit pembesar suara (speaker), dan wang tunai RM23,200.00 disyaki hasil perjudian oleh suspek-suspek,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, kesemua mereka direman dua hari sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]. – MalaysiaGazette