Para penumpang penerbangan dari UK akan dikenakan kuarantin susulan penularan varian baharu Covid-19 dari negara itu. foto Agensi

LONDON – Eropah menjadi wilayah pertama di seluruh dunia yang melepasi angka kematian 500,000 akibat Covid-19 pada hari Selasa di tengah-tengah kemunculan varian baharu yang mengekang penularan pandemik.

Laporan mengenai varian mutasi dari England telah mendorong penutupan sempadan sebelum Krismas.

Berpuluh-puluh negara telah menutup sempadan mereka kepada pelancong Britain pada minggu ini.

Itali, negara dengan jumlah kematian tertinggi di Eropah, pada hari Ahad mengesan seorang pesakit yang dijangkiti varian baru seperti Denmark dan Perancis.

Untuk mengekang penyebaran, negara-negara Eropah mempertimbangkan untuk menyaring penumpang dalam penerbangan dari United Kingdom (UK) dan mewajibkan kuarantin untuk pelancong semasa ketibaan.

Awal bulan ini, UK menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin Pfizer Inc – BioNTech diikuti oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara-negara lain.

Eropah telah melaporkan sekitar 30% kematian akibat Covid-19 di peringkat global setakat ini, menurut laporan Reuters.

Angka kematian Eropah telah meningkat dalam beberapa bulan terakhir.

Sejak kematian Covid-19 pertama dilaporkan di Perancis pada bulan Februari, ia mengambil masa lapan bulan untuk mencapai 250,000 kematian di wilayah ini.

Ia hanya mengambil masa 60 hari untuk wilayah itu untuk merekodkan kematian dari angka 250,000 kepada 500,000.

Perancis, Sepanyol, Itali, United Kingdom dan Rusia melaporkan ratusan kematian sehari dan lima negara menyumbang hampir 60% kematian di rantau ini.

Di seluruh dunia terdapat 77.52 juta kes dan 1.71 juta kematian, menurut laporan Reuters. – MalaysiaGazette