Pesawat Boeing, B737 MAX

CHICAGO – Keluarga-keluarga mangsa nahas Boeing 737 Max mendesak Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) untuk menangguhkan kelulusan operasi pesawat berkenaan memandangkan ada persoalan mengenai keselamatan pesawat berkenaan belum terjawab.

Bulan lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FA) Amerika Syarikat (AS) memberi kelulusan kepada pesawat berkenaan selepas perubahan dalam reka bentuk sistem yang menjadi punca dua nahas itu telah diatasi.

EASA memaklumkan akan menarik balik larangan penggunaan pesawt tersebut pada bulan depan selepas mendapat maklum balas masyarakat dan industri mengenai syarat-syarat untuk menerbangkan semula 737 Max.

Dalam sepucuk surat kepada Pengarah Eksekutif EASA, Patrick Ky dan dalam komen yang diajukan kepada agensi tersebut, keluarga-keluarga dan rakan-rakan mangsa nahas pesawat Ethiopian Airlines berkata, EASA perlu menyelesaikan analisis pesawat yang diubahsuai terlebih dahulu dan melengkapkan laporan keselamatannya mengenai nahas tersebut.

Nahas pesawat berkenaan membabitkan kapal terbang milik Lion Air dan Ethiopian Airlines, masing-masing berlaku pada tahun 2018 dan 2019, mengorbankan 356 orang mangsa.

“Tidak mungkin EASA menyimpulkan bahawa 737 Max yang disemak semula selamat sebelum selesai melakukan penilaian keselamatannya sendiri ,” kata mereka dalam surat itu.

Jurucakap EASA pula enggan memberi sebarang kenyataan balas berhubung permintaan keluarga-keluarga mangsa memandangkan pihaknya sedang dalam proses pensijilan semula.

EASA merancang untuk menerbitkan pengesahan akhir udara pada bulan Januari, setelah semua maklum balas dikaji, katanya.

Keluarga itu juga mempersoalkan keputusan FAA untuk menarik larangan penerbangannya berikutan laporan Jawatankuasa Perdagangan Senat pada hari Jumaat lalu menyimpulkan bahawa agensi itu dan pegawai Boeing bertelagah semasa ujian pensijilan semula 737 Max.

Mereka mendesak EASA untuk menjelaskan mengapa Boeing melakukan perubahan terhadap keselamatan pesawat dan meminta meningkatkan margin keselamatan pesawat dengan menerapkan sensor Angle of Attack ketiga.

Mereka juga meminta untuk mereka bentuk semula sistem penerbangan dan amaran kru “untuk memenuhi standard keselamatan moden,” – antara langkah-langkah lain. – MalaysiaGazette