Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial selepas ditahan pengawal peribadi kerana merompak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan menggunakan sebilah parang.

S. Suresh Rao, 34, pengutip besi buruk membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, Suresh Rao bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sebilah parang panjang terhadap Mohamed Ali Meeran Mydin, 36, dengan mengambil wang milik syarikat mangsa sebanyak RM15,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Metro Perdana Barat 2, Sentul, di sini, pada 11.15 pagi, 15 Dis lalu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Artikel berkaitan: Penyamun berputih mata ditangkap mangsanya sendiri

“Namun sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah, saya menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi dan mangsa,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam M. Madhavan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga dan menanggung isteri serta tiga orang anak kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke mahkamah pada setiap 1 hari bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan  sehingga kes selesai dan 18 Jan 2021 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kejadian itu menjadi tular selepas satu video berdurasi sembilan saat dipaparkan di laman sosial Facebook, seorang lelaki dipercayai suspek terbaring atas jalan sambil  seorang lelaki mengacukan sepucuk pistol kepadanya. – MalaysiaGazette