Penyampaian Sijil Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2019 daripada Pengarah Keselamatan Kerajaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Ketua Eksekutif PTPTN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) bagi Tahun 2019 daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri.

Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen PTPTN yang telah mempamerkan tadbir urus keselamatan perlindungan terbaik dengan mencapai penarafan Cemerlang (Lima Bintang).

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Pengarah CGSO Wilayah Persekutuan Lumpur, Syarifuddin Palawa kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam satu majlis serba ringkas di Menara PTPTN di sini pada 18 Disember lalu  yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi perbadanan.

Ahmad Dasuki menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghargaan yang sangat besar dan bermakna kepada PTPTN.

Ini kerana, menurut beliau, ia membuktikan PTPTN sentiasa komited mengamalkan tadbir urus terbaik untuk memastikan keselamatan perlindungan dari segi keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan kerahsiaan maklumat terutama dokumen rahsia rasmi dan keselamatan peribadi.

“Ianya juga bagi mengelakkan perlanggaran keselamatan seperti ancaman kebocoran, kecurian, akses tanpa kebenaran dan sebagainya.

“Menjadi keutamaan PTPTN untuk memastikan keselamatan aset dan maklumat terjamin sepenuhnya pada setiap masa dengan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

“Dalam aspek ini, PTPTN sentiasa peka terhadap dasar dan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan dengan mematuhi arahan-arahan keselamatan yang digubal,” katanya.

: Sijil Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2019 (Lima Bintang) kepada PTPTN.

Sementara itu, Syarifuddin yang mengucapkan tahniah kepada PTPTN pula berkata, proses untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut  bukanlah mudah.

Katanya, penarafan itu dibuat hasil program Inspektorat Keselamatan Perlindungan yang dilaksanakan di PTPTN dan dinilai berdasarkan penilaian semua pembuktian yang telah dikemukakan semasa inspektorat.

Menurut beliau, empat kriteria diambil kira untuk melayakkan pengiktirafan tersebut iaitu keselamatan umum, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan keselamatan personal.

“PTPTN merupakan salah satu jabatan dan agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencapai penarafan cemerlang lima bintang daripada 10 agensi yang terpilih,” katanya.

AKKP merupakan program khas yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara bertujuan mengiktiraf tadbir urus terbaik di kalangan jabatan dan agensi kerajaan.

PTPTN

Tujuan utamanya ialah menyemarakkan pembudayaan keselamatan perlindungan di kalangan pegawai awam dan pada masa yang sama menggalakkan jabatan kerajaan untuk bersaing secara sihat bagi mencapai pengiktirafan

Dengan pencapaian yang membanggakan ini, PTPTN selaku agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus komited memberi penekanan kepada aspek keselamatan perlindungan secara menyeluruh. iaitu keselamatan dokumentasi, aset dan keselamatan dan kesihatan pekerja.

PTPTN tidak hanya tertumpu kepada keselamatan aset dan dokumen sahaja, malah sentiasa memberi keutamaan dalam usaha menyediakan persekitaran kerja yang selamat untuk seluruh warga PTPTN dan para pelanggan selaras dengan peraturan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

— MalaysiaGazette