Empat suspek geng samun topeng yang dikehendaki dalam 50 kes samun dan 2 kes POCA berjaya ditembak mati dalam aksi kejar mengejar di Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH – Empat suspek geng bertopeng yang baru sahaja selesai menyamun di Taman Pelangi, Rawang berjaya ditembak mati selepas cuba menyerang polis menggunakan parang di Sungai Buloh tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berada di lokasi kejadian berkata, kesemua suspek dikehendaki polis kerana terlibat lebih 50 kes samun di negeri berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian tadi.

Katanya, Bilik Gerakan Polis Kontinjen Selangor yang menerima maklumat samun berjaya mengesan dan terserempak dengan kereta suspek sekitar 1 tengahari.

“Kejar mengejar berlaku dan suspek tidak memberi kerjasama ketika diminta memberhentikan kereta sebelum melanggar penunggang motosikal wanita pengantar makanan e-hailing.

“Kereta itu telah menyeret dan mengilis wanita itu beberapa meter sebelum polis bertindak melepaskan tembakan bagi menyelamatkan mangsa.

Menurut Arjunaidi, selepas tidak dapat memecut kenderaan, suspek bertindak mengundurkan kereta di jalan sama dan melawan arus.

Empat suspek geng samun topeng yang dikehendaki dalam 50 kes samun dan 2 kes POCA berjaya ditembak mati dalam aksi kejar mengejar di Sungai Buloh hari ini.

Pada saat ini, polis berjaya menahan kenderaan suspek sebelum salah seorang suspek keluar dari kenderaan dengan parang untuk menyerang polis.

Serentak itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

“Pemeriksaan mendapati mereka adalah kumpulan geng samun bertopeng yang sangat dikehendaki dan diburu polis selama ini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Tambah beliau, mangsa penghantar e-hailing segera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan segera.

Keempat-empat suspek telah meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Justeru, katanya, semakan mendapati mereka terlibat dalam lebih 50 kes samun sejak awal tahun ini manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dikehendaki Akta Pencegahan Jenayah (POCA) lari dari sekatan polis di Johor.

“Mereka bukan sahaja aktif dalam jenayah samun di Sungai Buloh, tetapi juga di seluruh negeri Selangor selama dua tahun ini.

“Kesemua suspek tidak bekerja dan samun bersenjata parang adalah satu-satunya kegiatan utama mereka dengan modus operandi memakai topeng dan helmet serta menyamun menggunakan parang di rumah mangsa.

“Kereta yang digunakan mereka adalah dilaporkan hilang bersangkut laporan polis di Petaling Jaya da saki baki geng samun ini akan disiasat dan ditangkap secepat mungkin.

“Ada beberapa kes samun suspek ini menyebabkan kecederaan terhadap mangsa tetapi mangsa samun di Taman Pelangi hari ini tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar beliau.-MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan : Empat suspek samun ditembak polis

2 Komen

Comments are closed.