Pelakon nombor satu India Selatan, Rajinikanth.

HYDERABAD –  Pelakon tersohor India Selatan, Rajinikanth dikejarkan ke hospital pagi tadi.

Ketika ini beliau sedang menerima rawatan di Hospital Apollo di Hyderabad kerana tekanan darah tidak stabil.

Pengurusan Apollo dalam satu kenyataan mengesahkan status kesihatan pelakon dengan jolokan ‘Superstar’ sebentar tadi.

Kata Apollo, Rajinikanth telah menjalani penggambaran sebuah filem Tamil baharu di Hyderabad sejak 10 hari lalu.

Namun pada Rabu lepas, penggambaran itu terpaksa diberhentikan sementara beberapa kru produksi filem itu dikesan positif jangkitan Covid-19.

Rajinikanth juga telah melakukan ujian saringan Covid-19 pada 22 Disember lalu dan  keputusannya negatif.

Sejak itu, beliau menjalani kuarantin kendiri dan dipantau secara teliti.   

“Walaupun beliau tidak mengalami sebarang gejala Covid-19, tekanan darahnya menunjukkan keadaan tidak stabil dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

”Atas sebab itu, beliau dimasukkan ke hospital.

“Beliau akan diperiksa dan dipantau rapi dari semasa ke semasa sehingga tekanan darahnya stabil semula sebelum dibenarkan keluar dari hospital,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, selain masalah tekanan darah, Rajinikanth tidak mempunyai gejala lain dan stabil secara hemodinamik.

Pelakon tersebut baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-70 pada 12 Disember lalu.

Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaekwad menjalani penggambaran filem Tamil, Annaatthe di Hyderabad sejak 14 Disember lalu.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila awal minggu ini sebanyak empat kru filem Annaatthe dikesan positif wabak Covid-19 yang juga sedang mencatatkan angka besar di India ketika ini.

Rajinikanth awal tahun ini telah membuat pengumuman akan menubuhkan parti politiknya sendiri menjelang Januari tahun depan. -MalaysiaGazette