Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Difahamkan, Allahyarham yang berusia 80 tahun, meninggal dunia pukul 9.50 malam akibat sakit buah pinggang, dan dijangka dikebumikan pagi ini.

Berita itu disahkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat di laman Facebook.

“Bekas Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi (malam tadi) di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Selepas pelantikan saya sebagai Speaker DUN Johor pada 2018, saya sempat ziarah Allahyarham di Sri Gading.

“Banyak nasihat berguna yang beliau berikan pada saya. Moga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh,” katanya.

Jenazah Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading akan dimandikan di hospital sebelum dibawa ke rumah di Nong Chik, Johor Bahru.

Jenazah dijadualkan dikebumikan pukul 9.30 pagi Jumaat.

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama 14 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani bermula 1986 hingga 1999.

Beliau kemudian menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Sri Gading antara 1999 hingga 2013, selain pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor pada 2013.

Allahyarham juga berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan Johor apabila pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat negeri pada 1990 hingga 1995, serta Ketua Penerangan Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Johor pada 1995 hingga 1999.

Dalam politik, Allahyarham pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sri Gading dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading. – MalaysiaGazette