Gambar hiasan

KUANTAN – Polis menahan 30 individu termasuk seorang warga asing ketika sedang leka berpesta liar termasuk menghisap dadah dalam serbuan di sebuah banglo di Genting Sempah, Bukit Tinggi, Bentong kira-kira 217 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun, termasuk 13 wanita, ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong kira-kira 4.45 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ganja yang dianggarkan bernilai RM3,750.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati 25 daripada mereka positif dadah methamphetamine manakala seorang positif dadah jenis ketamin,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1),  Seksyen 12(2), Seksyen 6  dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen, katanya.

Menurutnya, seramai 29 suspek turut dikenakan tindakan kompaun RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Bernama