Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjalankan siasatan rapi, cekap dan telus berhubung isu kartel daging import haram yang tercetus baru-baru ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalang di sebalik kartel ini perlu diheret ke muka pengadilan.

Jelas beliau, isu kartel daging import haram ternyata telah merosakkan reputasi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.

“Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut.

“Saya menggesa kebobrokan seperti ini dihentikan. Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Anwar, mana-mana kakitangan kerajaan yang terlibat dalam sindiket kartel daging itu membuktikan ketidaktelusan dalam menjalankan tanggungjawab.

“Baru baru ini kita digemparkan dengan pendedahan berhubung kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan.

“Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya kita dalam memerangi rasuah dan kebobrokan, namun kakitangan kerajaan ini mudah dibeli sekaligus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat,”tambahnya.

Semalam Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang kartel di sebalik penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk yang diragui status halal dan kualitinya.

Pergerakan Pemuda parti itu juga menggesa agar syarikat yang terlibat dengan sindiket kartel daging import haram ini didedahkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. setuju termasuk yang jual ASET TABUNG HAJI dan FGV MASA 22 BULAN…Heret dalang kartel daging import haram ke muka pengadilan, kata Anwar

Comments are closed.