Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Pemberian sijil halal terhadap penjualan daging import akan diperketatkan lagi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Dalam masa yang sama kata beliau, Prosedur Operasi Standard (SOP) bahagian pengurusan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan diperkukuhkan.

Sekiranya wujud keperluan untuk menambah kakitangan Jakim, maka kerajaan ujarnya lagi akan bertindak sedemikian.

“Dengan pembongkaran isu kartel daging, pihak kerajaan akan terus memperkukuhkan lagi SOP termasuk kawal selia dan sekiranya perlu menambah kakitangan Jakim, maka kita akan membuat pengambilan.

“Kita juga akan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kelulusan kebenaran untuk mendapatkan sijil halal bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat daging import yang bersih serta halal,” katanya seperti dipetik Berita Harian ketika ditemui selepas merasmikan Program Berkhatan Parlimen Pengkalan Chepa 2020 di Dewan PASTI Kedai Buloh, Kota Bharu Kelantan 2020.

Dalam pada itu beliau berkata, isu kartel daging import haram tidak hanya melibatkan Jakim bahkan juga melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Baru-baru ini KPDNHEP dilaporkan menyatakan bahawa ia sedang menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau ada unsur salah guna kuasa dan rasuah letak 10 ribu kakitangan pun tidak guna. Kurang kakitangan lagi senag hendak pantau mana2 staff yang tidak amanah, kalau ramai lagi susah hendak siasat.

Comments are closed.