Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya mendedahkan nama syarikat yang terbabit dalam kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Ahmad berkata, ia penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap keabsahan status halal daging import yang berada dalam pasaran.

Kata beliau, pergerakan itu juga mendesak kerajaan menubuhkan pasukan khas melibatkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri halal termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Penglibatan dua pihak berkuasa ini bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan termasuk rasuah dalam isu kartel daging haram ini.

“Jangan ada sebarang usaha menutup ataupun melindungi mana-mana pihak termasuk jika terdapat orang kenamaan dan VVIP yang terlibat dengan penyelewengan amanah umat Islam,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan, syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram dalam siasatan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

KPDNHEP katanya, bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang turut menyiasat kes itu dan tertumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast