Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjual sebanyak RM24.76 bilion ekuiti tempatan di Bursa Malaysia sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada minggu berakhir 25 Disember lalu dengan aliran masuk sebanyak RM223.8 juta berbanding aliran keluar RM178.75 juta pada minggu sebelumnya.

Ketika pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM32 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi sebagai pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM16.67 juta dan RM15.3 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada hari Rabu dan Khamis, masing-masing sebanyak RM265.11 juta dan RM59.19 juta selepas menjual dua hari berturut-turut.

“Minggu lalu merupakan aliran masuk bersih yang pertama daripada pelabur-pelabur asing sejak awal November lalu,” katanya.

Menurutnya, pada bulan ini, pelabur asing merupakan penjual bersih dengan aliran keluar sebanyak RM735.86 juta, lebih rendah berbanding aliran keluar November kira-kira RM1.03 bilion.

Kecuali hari Rabu, minggu lalu menyaksikan pelabur peruncit merupakan pembeli aktif setiap hari pada minggu tersebut.

Aliran masuk terbesar adalah hari Selasa dan paling kecil pada hari Khamis, masing-masing sebanyak RM34.3 juta dan RM5.5 juta.

Bagaimanapun perkembangan ini berbeza buat pelabur institusi tempatan apabila ia menjadi penjual bersih setiap hari pada awal minggu lalu.

Jualan terbesar direkodkan pada hari Rabu sebanyak RM239.28 juta dan belian terbanyak pada hari Selasa kepada RM34.26 juta.

Menjelang berakhirnya tahun 2020, pelabur runcit dan institusi menjadi pembeli bersih di bursa.

Pelabur runcit menjadi pembeli bersih kepada RM13.64 bilion, lebih besar berbanding institusi tempatan sebanyak RM10.62 bilion.

Setakat ini, jualan bersih pelabur asing mencecah RM24.76 bilion.

Sebagai perbandingan, Thailand merekodkan aliran masuk tertinggi manakala hanya Filipina yang mencatatkan aliran keluar. – MalaysiaGazette