Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengajak orang ramai bersama-samanya mengucapkan selamat tinggal kepada perkhidmatan feri Pulau Pinang pada Khamis ini.

Beliau akan berada di kawasan itu pukul 10 pagi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Upacara selamat tinggal itu dibuat ekoran laporan mengatakan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang itu akan dihentikan pada 31 Disember ini.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, seandainya kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi menerajui kerajaan pusat sudah pastinya perkhidmatan ikonik itu akan dikekalkan.

“Marilah kita mengambil perjalanan terakhir sebagai penumpang dalam nostalgia manis kaedah pengangkutan asas sebelum siapnya Jambatan Pulau Pinang yang pertama dan menegaskan bahawa feri ikonik harus dikekalkan demi kepentingan warisan dan sejarah untuk anak-anak kita,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan yang sama.

“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengesahkan di Parlimen pada 17 Disember 2020 bahawa Kementerian Kewangan di bawah saya telah menetapkan perkhidmatan feri mesti diteruskan sebagai syarat pemberian RM30 juta oleh kerajaan kepada Penang Port Sdn Bhd untuk menjalankan perkhidmatan feri,” katanya. 

Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.- Gambar hiasan.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada tahun 1894.

Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan sebelum itu telah memberi jaminan perkhidmatan feri berkenaan akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang seperti perkhidmatan katamaran.

Jelas Guan Eng lagi, Pakatan Harapan (PH) tidak menentang penambahan katamaran dengan syarat perkhidmatan feri sedia ada dikekalkan.

“Kami menyedari kos dan kesukaran untuk mencari alat ganti yang sesuai. Itulah sebabnya kami mendesak agar dua atau tiga feri yang masih ada dibiarkan beroperasi.

“Dengan kata lain, katamaran akan beroperasi selari dengan perkhidmatan feri yang sedia ada seperti yang diamalkan oleh banyak negara seperti Hong Kong atau Kanada, yakni kewujudan bersama warisan dan kemodenan.

Dalam pada itu, Guan Eng menegaskan, rakyat Pulau Pinang tidak akan sesekali memaafkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab menamatkan perkhidmatan feri ikonik itu.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata, keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

“Kita mahu tegaskan bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan kami di Kementerian Pengangkutan. Oleh itu, kementerian sudah membuat keputusan untuk memodenkan perkhidmatan feri ini demi keselamatan dan keselesaan penumpang,” kata Ka Siong. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramai keliru, Pulau Pinang kini ada 2 ketua menteri – Ka Siong

2 Komen

  1. LGE sengaja cari populariti dengan menghasut rakyat, pada hal jaminan telah diberikan oleh kementerian kewangan bahawa perkhidmatan ferri boleh diteruskan.

Comments are closed.