Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri meninjau antara daging import yang berada di kilang sejuk beku makanan di Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjanji tindakan segera akan diambil mengikut bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan punca berlaku kartel import daging haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya sudah mula mengadakan perbincangan dengan JAKIM untuk mencari kelemahan dan punca berlakunya perkara itu.

Dalam masa yang sama juga beliau berkata, perbincangan untuk tujuan yang sama akan diadakan dengan beberapa kementerian yang berkaitan dengan isu ini.

“Kami akan duduk semeja dahulu dengan JAKIM  dan beberapa kementerian untuk melihat di mana kelemahan-kelemahan untuk kita baiki.

“Dengan JAKIM hari ini sudah bincang dengan kementerian kami akan susuli, sahabat-sahabat kami akan bincang dari semasa ke semasa.

“Selepas daripada itu barulah kita tahu apa masalah yang perlu diselesaikan khususnya dalam isu pengimportan daging ini sama ada mengikut SOP (prosedur operasi standard) halal atau tidak,” katanya.

Terdahulu Zulkifli ditemui di sebuah kilang memproses makanan sejuk beku di Segambut untuk memantau daging import yang berada di premis berkenaan.

Ditanya adakah perlu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyelesaikan isu ini, Zulkifli berkata, ia perlu dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan hasil perbincangan yang akan diadakan.

“Saya tidak kata perlu dan saya tidak kata tidak sebab perkara ini saya perlu dalami dengan lebih baik tapi saya  tidak akan ambil masa yang lama dalam masa dua tiga hari atau seminggu untuk kita tengok respon, maklumat apakah perkara-perkara yang boleh kita tangani dengan segera,” ujarnya.

Dalam pada itu Zulkifli menasihatkan pengusaha daging import agar patuh terhadap peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Jakim.

Zulkifli juga berharap agar sijil Halal yang digunakan benar-benar dikeluarkan daripada Jakim dan diiktiraf.

“Saya menasihatkan kepada pengusaha di sini agar patuh kepada peraturan dan SOP daripada Jakim serta kolaborasi yang digunakan dengan syarikat luar yang mana kita harap diiktiraf oleh Jakim,” tambahnya.– MalaysiaGazette