Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis menerima 13 laporan polis daripada orang awam berhubung isu kartel daging import yang menggunakan logo halal palsu.

Laporan polis itu diterima daripada orang awam yang melahirkan kegusaran setelah membaca laporan khas mengenai serbuan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut peruntukan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Katanya orang awam juga gusar selepas mengikuti laporan pendedahan eksklusif oleh akhar tempatan berkaitan kegiatan syarikat yang menyeludup daging import secara haram serta menukar status halal daging untuk pasaran tempatan.

“Berdasarkan maklumat jumlah rampasan, sitaan serta nilai yang terlibat, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini melibatkan rangkaian (NETWORK) yang luas serta ia didalangi sindiket di dalam dan luar negara.

“Ruang lingkup siasatan antara lain akan merangkumi pihak yang terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat serta membawa masuk daging sejuk beku menerusi Permit Import (AP),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PDRM memandang serius perkara berkenaan dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan dan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam.

Menurut beliau, kewajaran tindakan ke atas sindiket berkenaan adalah dengan mengambil kira justifikasi berikut iaitu mencetuskan kegusaran kepada rakyat terutama melibatkan isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perdayaan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal, dan memberi kesan yang besar kepada sektor ekonomi negara.

“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil untuk membantu siasatan dan tidak menularkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya di media sosial sehingga menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,'” tegas Huzir lagi. – MalaysiaGazette