Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sembilan kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini sementara tiga lagi ditamatkan.

Kesemua sembilan kluster baharu itu dilaporkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sembilan kluster baharu itu adalah Kluster Seri Lanang, Kluster Jalan Chu, Tapak Bina Awan Puteh, Kluster Integra Ikon, Kluster Jalan Satang, Kluster Tembok Mempaga, Kluster Timbang Dayang, Kluster Teguli dan Kluster Rambai.

“Kluster Sri Lanang dikesan di daerah Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling di Selangor manakala kes-kes positif dilaporkan bermula pada hari sambutan Krismas lalu melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga hari ini, seramai 1,020 individu telah disaring, dan 173 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, Kluster Jalan Chu pula dikesan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kes positif dikesan bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah syarikat apabila sejumlah 70 individu disaring dan 44 kes daripadanya telah dikesan positif.

Sementara itu, Kluster Tapak Bina Awan Puteh dikesan di Lembah Pantai dan kes-kes positif dikesan hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan yang mana setakat ini seramai 87 individu telah disaring dan 29 daripadanya positif.

Menurut beliau, Kluster Integra Ikon juga dikesan di tempat kerja di Titiwangsa yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-104, 673 telah dikesan positif pada 27 Disember lalu melalui saringan kendiri dan sehingga sekarang seramai 185 individu telah disaring dan 11 daripadanya positif.

Kluster Jalan Satang pula dikesan di Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur, Hulu Langat, Klang, Petaling dan Gombak di Selangor serta daerah Bentong di Pahang.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-92,888 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Disember lalu dan setakat ini 104 individu telah disaring dan 30 kes daripadanya disahkan positif pandemik.

“Kluster tembok Mempaga pula dikesan di daerah Bentong Pahang yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-97, 373 dikesan positif pada 22 Disember lalu melalui saringan tahanan dan setakat hari ini sejumlah 504 individu telah dan 284 daripadanya positif,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, kluster ketujuh iaitu Timbang Dayang dikesan di Kota Belud, Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-100, 487 telah dilaporkan positif
Covid-19 pada hari Natal melalui saringan individu bergejala.

Tegas Noor Hishjam, sehingga kini, sejumlah 87 individu telah disaring yang mana 13 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

“Kluster kelapan iaitu Teguli pula melibatkan daerah Putatan di Sabah yang mana kes indeksnya iaitu kes ke-86690 telah disahkan positif Covid-19 pada 16 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan setakat ini 13 individu telah disaring dan 12 daripadanya sah positif Covid-19.

“Kluster kesembilan dan yang terakhir iaitu Kluster Rambai pula dikesan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka, Daerah Petaling di Selangor dan Rembau di Negeri Sembilan.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-104,441 telah dikesan positif Covid-19 pada 27 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

“Setakat ini, sejumlah 102 individu telah disaring,yang mana 16 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tegasnya lagi.

Selain sembilan kluster baharu, jumlah keseluruhannya terdapat sebanyak 498 kluster telah dilaporkan dan jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 278 kluster ini sementara 220 lagi masih aktif.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini dan kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Seri Lanang (168 kes), dan Kluster Tapak Bina Lebuh (125 kes).

Sementara itu, kluster yang diisytiharkan tamat ialah Kluster Bot Biru, Kluster Gedong, dan Kluster Jernih.- MalaysiaGazette