Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang menyembunyikan kereta selepas mengakibatkan satu kemalangan maut dan langgar lari di Lebuhraya Grand Saga pada 23 Disember lalu akhirnya terbongkar.

Muslihatnya menyembunyikan diri daripada kesalahan meragut nyawa pengguna jalan raya lain tidak tahan lama apabila berjaya menahannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pukul 10.59 malam di Kilometer 11.8, Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan atas risikan dan maklumat  Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya mengenalpasti kereta dan pemandu terlibat.

“Susulan itu pada hari ini (Selasa) jam lebih kurang 2.30 petang pihak polis telah membuat tangkapan ke atas pemandu motokar tersebut yang merupakan seorang lelaki berumur 25 tahun di rumahnya yang beralamat di Cheras.

“Hasil soal siasat awal pemandu motokar (suspek) tersebut mengaku terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis telah menemui keretanya yang disembunyikan suspek di kawasan Pandan Indah sebelum berjaya dirampas untuk tindakan lanjut siasatan,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Sabri, hasil pemeriksaan polis ke atas kereta suspek mendapati ia mengalami kerosakan di beberapa bahagian terutama luar badan kereta terbabit.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa dan siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing dan sampel darah ke atas suspek akan diambil untuk membantu siasatan. Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Kajang pada esok,” katanya.

Siasatan lanjut dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. – MalaysiaGazette