Timbalan Presiden Kebangsaan Pribumi Malaysia, Datuk Seri Dr. Norhisham Mohd Nor menyampaikan memorandum kepada Kedutaan Australia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Masyarakat Prihatin Bumi Malaysia (Pribumi) dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) Malaysia mendesak Australia mengenakan hukuman berat terhadap tenteranya yang terlibat dalam pembunuhan 39 orang awam di Afghanistan.

Hukuman itu mestilah berat dan setimpal dengan kesalahan mereka, kata Timbalan Presiden Kebangsaan Pribumi Malaysia, Datuk Seri Dr. Norhisham Mohd Nor dan Presiden Pertiga Malaysia, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini.

Ia ekoran kenyataan Ketua Angkatan Pertahanan Tentera Australia, Angus Campbell yang mengakui wujud bukti kukuh menunjukkan pasukan khasnya membunuh sekurang-kurangnya 39 orang awam warga Afghanistan dan tahanan penjara secara tidak sah pada 19 November lalu.

Rekod memalukan itu turut melibatkan pendedahan bagaimana anggota tentera baharu didakwa sengaja menembak tahanan bagi membuktikan keupayaan mereka.

“Jadi, bukan hanya dengan memohon maaf yang dibuat oleh Angus Campbell dan tentera yang bersalah dilucut jawatan,” kata kenyataan yang sama.

Pembunuhan warga Afghanistan, yang tidak berlaku di medan perang itu bukan sahaja tidak dapat dimaafkan tetapi ia adalah kejahatan terhadap kemanusiaan, katanya.

Justeru Pertiga Malaysia menuntut Australia memberi keadilan kepada para korban dan komited dalam mempertahankan sistem kehakiman dan undang-undang antarabangsa yang baik di negara itu.

“Kerajaan Australia harus mempertimbangkan tindakan termasuk pendakwaan jenayah terhadap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah perang, pembayaran segera pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka, penghentian penghargaan dan pingat bagi mereka yang terlibat,” katanya.

Pribumi Malaysia dan Pertiga Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman terhadap saudara seislam di Afghanistan.- MalaysiaGazette