ACP Abd. Khalid Othman

SUBANG JAYA – Polis meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga untuk tempoh yang lama berhubungan dengan polis berikutan penemuan mayat seorang lelaki terapung di sebuah tasik di Taman Tasik Prima, Puchong pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, mayat lelaki tidak dikenali itu ditemui orang ramai pada jam 7.55 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis ke atas mayat menemui kesan luka di bahagian kepala dan kesan jerutan tali di leher.

“Polis telah segera mengklasifikasikan kes sebagai bunuh dan di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut pada mayat mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui daripada mangsa,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Khalid, mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, berseluar pendek berwarna hijau dan berbaju kemeja lengan panjang berwarna putih.

“Polis kini sedang berusaha mengenalpasti identiti mangsa meninggal itu,” katanya.

Katanya,orang ramai yang mempunyai maklumat polis boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606. – MalaysiaGazette