KUALA LUMPUR – Prospek industri minyak dan gas kekal mencabar, dipengaruhi oleh kejatuhan permintaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kesan akibat pandemik Covid-19.

Pandemik koronavirus telah memberi kesan ketara di peringkat domestik dan global, kata Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Menurut firma ini, prospek tersebut akan mempercepatkan peralihan ekonomi rendah karbon, memacu campur tangan dasar dan kerjasama global di seluruh industri.

Walaupun gas tetap menjadi sumber bahan api yang penting dan bersih, kepelbagaian tenaga boleh diperbaharui sangat diperlukan.

”Firma ini telah mengambil langkah-langkah yang menunjukkan komitmen yang lebih kuat terhadap kelestarian ketika kita perhatikan kepantasan peralihan tenaga global, ditingkatkan oleh harapan pihak berkepentingan dan peluangnya yang luas,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik menerusi laporan Prospek Aktiviti Petronas tahunannya bagi tahun 2021-2023.

Laporan berkenaan berkongsi pandangan syarikat mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti daripada perniagaan huluan, hiliran, gas dan tenaga baharu Petronas.

Menurutnya, Petronas mensasar untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang tahun 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik terhadap kemampanan yang mengimbangkan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi rantaian nilai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast