Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura akan memulakan penentuan jumlah ganti rugi yang yetlibat berikutan pembatalan  Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Malaysia akan menunaikan obligasinya seperti mana terma yang dipersetujui pada perjanjian dua hala yang dipersetujui sebelum ini.

Tambah beliau, sejak pertengahan tahun lalu, kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan dalam projek yang menghubungkan Kuala dan Singapura itu termasuk struktur projek, penjajaran dan rekaan stesen.

Katanya, struktur projek baharu dijangka menyediakan kerajaan dengan fleksibiliti dalam pilihan kewangan, seperti penundaan pembayaran, rakan kongsi awam-swasta dan kemungkinan mengakses pembiayaan dengan kadar yang lebih baik berbanding struktur projek asal yang memerlukan jaminan kerajaan yang besar dan berjangka masa panjang.

“Apa yang lebih penting, cadangan perubahan struktur projek akan membolehkan kita mengambil kesempatan dalam projek HSR bagi memacu pemulihan ekonomi negara pada pasca pandemik Covid-19 dengan memulakan fasa pembinaan selama hampir dua tahun.

“Ia akan menyediakan lonjakan yang diperlukan sektor pembinaan dan ekosistemnya,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berikutan perubahan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Mustapa kedua-dua negara tidak dapat mencapai persetujuan terhadap perubahan itu sehingga tempoh perjanjian dua hala tersebut tamat semalam.

Melangkah ke hadapan, Mustapa memberitahu, kerajaan akan menjalan kajian terperinci untuk menerokai semua kemungkinan pilihan yang ada, termasuk kebolehlaksanaan projek HSR domestik yang dapat memanfaatkan penduduk negara ini.

Mengikut laporan media dan sumber dalaman, Projek HSR KL-Singapura akan diganti dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru dengan kelajuan kereta api lebih perlahan berbanding 350 kilometer sejam untuk projek asal. – MalaysiaGazette

Gagal capai persetujuan, projek HSR batal