Keadaan helikopter yang terhempas di dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pagi ini.

KUALA LUMPUR – Juruterbang dan pembantu helikopter yang terlibat dalam kemalangan pagi tadi berada dalam keadaan stabil.

Mengulas lanjut kejadian yang berlaku antara jam 9.45 hingga 10 pagi tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo berkata, helikopter Robinson R66 dikendalikan oleh My Heli Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Helikopter yang dikendalikan oleh My Heli Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 9.05 pagi dan berada di ruang udara Pulau Indah pada jam 9.21 pagi.

“Juruterbang melaporkan ops normal pada jam 9.45 pagi dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur tidak menerima sebarang panggilan kecemasan selepas itu,” katanya menerusi kenyataan.

Setelah menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut, CAAM telah mengaktifkan Aeronautical Rescue Coordination Centre.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan
Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Pagi tadi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Norazam Khamis mengesahkan sebuah helikopter persendirian terhempas dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dua mangsa yang menaiki helikopter terbabit cedera.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast