Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 347 individu ditahan dan dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, seramai 337 orang telah dikompaun manakala 10 individu direman.

“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 45,483 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya sebentar tadi.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 2,397 pasukan pematuhan melibatkan 10,633 anggota telah membuat pemantauan di 3,025 pasar raya, 4,234 restoran serta 1,472 penjaja, 919 kilang, 3,016 bank dan 654 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 889 terminal pengangkutan darat, 164 terminal pengangkutan air serta 86 terminal pengangkutan udara,” ujarnya. – MalaysiaGazette