Najib Razak
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk membatalkan projek keretapi laju (HSR) Kuala Lumpur – Singapura dan menggantikannya dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru akan banyak merugikan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun kos projek agak sama tetapi jumlah pendapatan HSR, daya penarikan pelaburan asing serta manfaat ekonomi.
Seleian itu, menurut beliau, ini kerana ia tidak dapat meningkatkan integrasi ASEAN dengan Malaysia.
Malah katanya, Projek HSR KL-JB yang baharu itu hanya akan bersaing dengan projek Landasan Berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KL-JB yang dijangka siap tahun ini.
“Akibatnya, manfaat ekonomi bagi Malaysia dari projek ini akan berkurang beberapa trillion Ringgit menjelang tahun 2050,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan Malaysia dan Singapura membatalkan Projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.

Dalam kenyataan bersama Malaysia-Singapura menyatakan kedua-dua negara akan mematuhi syarat masing-masing dan melakukan tindakan yang diperlukan akibat penamatan perjanjian projek HSR.

Kedua-dua buah negara memeterai perjanjian dua hala projek sepanjang 350 kilometer di Putrajaya pada 2016 itu disaksikan oleh Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Mengikut laporan media dan sumber dalaman, Projek HSR KL-Singapura akan diganti dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru dengan kelajuan kereta api lebih perlahan berbanding 350km sejam untuk projek asal.

Bagaimanapun menurut Najib, terdapat satu manfaat bagi kerajaan Malaysia apabila membatalkan projek itu iaitu kini kerajaan boleh membuat segala keputusan perolehan untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak berbanding model usahasama (JV) dahulu yang mana segala proses perolehan dan pemilihan vendor perlu ditimbang, dilaksanakan dan dipantau secara bersama oleh kedua-dua negara.
Menyentuh tentang Singapura dipercayai tidak membenarkan HSR dihubungkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai alasan pembatalan projek itu, Najib berkata, ia tidak benar kerana rancangan asal perkhidmatannya berakhir di Bandar Malaysia.
“Sebuah stesen ERL juga akan dibina di Bandar Malaysia sebab trak ERL KL Sentral-KLIA lalu berhampiran Bandar Malaysia,” ujarnya.
Katanya, jika projek HSR tidak lagi berakhir di Bandar Malaysia seperti pada asalnya maka projek Bandar Malaysia juga tidak akan mencapai potensi pembangunannya sebanyak RM140 bilion. – MalaysiaGazette