Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Saiz kakitangan awam berlebihan seperti dakwaan Datuk Dr. Fauziah Mohd Taib dinafikan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Adnan Mat berkata, kenyataan bekas kakitangan tertinggi kerajaan itu mengundang persepsi tidak baik.

“Walaupun tidak menyatakan dengan jelas saiz perkhidmatan awam di Malaysia perlu dikecilkan, hujah yang dikemukakan beliau seolah-olah mahu membawa pembacanya perlu percaya dan yakin bilangan penjawat awam pada hari ini berlebihan dan boleh dikurangkan,” kata merujuk kepada kenyatan Fauziah bertajuk Is Time To Trim The Civil Service hari ini.

Adnan menegaskan sekali lagi bahawa saiz perkhidmatan awam Malaysia dengan jumlah warganya kira-kira 1.6 juta orang adalah masih ideal dan tidak terlalu besar kerana ia turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

“Bahkan jika kita lihat jumlah penjawat awam di sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan awam masih lagi tidak mencukupi dan perlu ditambah selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi negara pada masa akan datang.

“Jika ditolak dengan ketiga-tiga sektor tersebut, penjawat awam di Malaysia hanya membabitkan lebih 600,000 kakitangan sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Adnan, pandangan Fauziah yang menyatakan perkhidmatan awam masih lagi mampu beroperasi walaupun pada kapasiti 30 peratus adalah tidak benar.

“Sebenarnya perkhidmatan awam masih lagi beroperasi 100 peratus sama ada di lapangan, di pejabat atau bekerja dari rumah. Jumlah 30 peratus itu hanyalah mewakili kakitangan yang perlu bertugas di pejabat sahaja dan ianya melibatkan beberapa negeri sahaja sewaktu PKPB dilaksanakan pada Oktober 2020,” katanya.

Menurutnya, walaupun 30 peratus sahaja petugas dibenarkan bekerja di pejabat, tidak semuanya juga bekerja dari rumah kerana masih ada petugas yang perlu turun ke lapangan dan menjalankan tugas mereka seperti biasa.

Petugas yang bekerja dari rumah juga bukanlah bercuti tetapi tetap menjalankan tugas dengan teknologi sistem atas talian dan sebagainya, katanya.

“Mereka ini juga tidak sepenuhnya bertugas dari rumah kerana ada penggiliran dilakukan bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar. Kelancaran dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan awam hari ini telah menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta boleh diterima oleh rakyat.

“Tidak timbul isu lebihan dalam saiz perkhidmatan awam. Dalam hal ini CUEPACS berpendapat Datuk Dr Fauziah menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan sendiri pandangan beliau terutama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukannya membincangkan isu tersebut secara terbuka dengan fakta yang tidak tepat,” kata Adnan.- MalaysiaGazette