Tan Sri Dr James Jemut Masing

KUCHING – Berkuat kuasa serta merta, semua laluan khas yang disediakan di jeti bagi kenderaan menaiki atau turun dari feri, akan dilengkapi dengan palang penghadang yang kukuh pada bahagian tepinya, bagi mengelak kejadian kenderaan terjatuh ke dalam sungai seperti yang berlaku semalam, berulang.

Dalam kejadian semalam, sembilan maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar, di jeti feri Triso, kira-kira 120 km dari sini, semasa berada di jeti berkenaan untuk menaiki feri.

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata Jabatan Kerja Raya Negeri telah diarahkan untuk mula membina penghadang itu dengan segera.

“Dengan palang penghadang yang kukuh, tiada kenderaan yang boleh jatuh (semasa menaiki atau turun dari feri). Ini akan dilaksanakan dengan segera. Perlu faham, bahawa dalam kejadian semalam kenderaan itu jatuh dari kawasan tempat feri berlabuh, bukannya jatuh dari feri (sebagaimana yang disangka ramai),” katanya semasa melawat tempat insiden berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang semalam, sembilan orang termasuk bayi berumur empat bulan maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan jatuh ke dalam sungai di sekitar kawasan jeti berkenaan.

Mereka terdiri daripada pemandu, Ronany Ting, 33, penumpang Siti Aisha Abdullah, 36, Nor Shuhada Mohamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14 dan Alvin Phang, 12, Wallace Phang, 7, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, dan Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berumur empat bulan.

Masing berkata tragedi itu mengingatkan semua pengguna feri betapa pentingnya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan rapi apabila menggunakan kemudahan disediakan, yang telah ditetapkan sejak perkhidmatan itu mulai beroperasi lagi.

Beliau berkata antara SOP ialah semua penumpang dikehendaki turun daripada kenderaan, sebelum kenderaan dipandu melalui laluan disediakan untuk masuk ke dalam feri, dan hanya masuk kembali masuk ke dalam kenderaan itu apabila kenderaan telah dipandu keluar dari feri berkenaan.

“Kita perlu kuat kuasa semua SOP yang diperkenalkan sejak sekian lama ini,” katanya sambil menggesa supaya semua pengguna sentiasa mematuhi arahan para pengawal feri sepanjang masa, semasa hendak menggunakan perkhidmatan feri.

Menurutnya kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk membina jambatan melintasi sungai-sungai yang terdapat di Laluan Utama Kedua (second trunk road) yang menghubungkan semua kawasan pesisir pantai di Sarawak.

“Kerajaan negeri terpaksa menyediakan dana (bagi membina jambatan) apabila kerajaan Pakatan Harapan (persekutuan) sebelum ini membatalkan semua projek pembinaan jambatan itu. Projek jambatan Batang Lupar melibatkan kos RM848 juta (bagi menggantikan perkhidmatan feri Triso) dan kita sedang membinanya sekarang,” katanya.- BERNAMA