Presiden Parti Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Ramai yang keliru dengan pendirian belas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung penamatan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Guan Eng tidak melakukan apa-apa ketika beliau mentadbir negeri itu

“Namun apabila Kerajaan Persekutuan tampil melakukan sesuatu anda membangkang seperti rakyat Pulau Pinang itu sengaja dianiyai?

“Selepas jadi kerajaan, kamu tidak peduli langsung dengan feri ikonik ini, kamu sibuk dengan projek terowong dasar laut yang hingga kini tidak nampak apa-apapun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Dominic, Guan Eng menyatakan bahawa nilai warisan Pulau Pinang akan rosak dengan penamatan perkhidmatan feri itu namun persoalan yang timbul siapakah yang melakukan penambakan tanah dan memusnahkan bukit-bukau di pulau tersebut sejak 10 tahun lalu.

Tambah beliau, selepas kehilangan kuasa di peringkat kerajaan Persekutuan, Setiausaha Agung DAP itu mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja pembangkang, bermain dengan emosi rakyat dan terus menuding jari ke arah kerajaan.

Sebelum ini Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bertikam lidah berhubung penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yangdigantikan dengan perkhidmatan bot penumpang laju bermula 1 Januari lalu.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar, bermula pada tahun 1894.

Kata Dominic, perbalahan antara DAP dan MCA bukannya satu rahsia dan penduduk Pulau Pinang terpaksa menanggung akibat daripada permainan politik DAP yang penuh dengan dendam itu. 

“Isu perkhidmatan feri ini hanya salah satu sikap DAP, pandai menuding jari dan sorok kesalahan diri kononnya semua yang dilakukan itu hanyalah untuk rakyat sahaja.

“Ingat lagi isu pertikaian isu bayaran sumber air mentah yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang sejak 2010. DAP hanya bersuara kini apabila negeri itu di tangan ‘musuh’. Sebelum ini tidak ada apa-apa. Mana pula kepentingan rakyat di sini?,” katanya.

Ujar Dominic, DAP tidak pernah menyelesaikan sebarang isu kerana apa yang penting buat parti itu ialah kuasa dan bukannya rakyat. – MalaysiaGazette

Ramai keliru, Pulau Pinang kini ada 2 ketua menteri – Ka Siong

Guan Eng ajak rakyat ucap ‘selamat tinggal’ kepada feri Pulau Pinang