LRA Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas semalam ekoran air naik paras kritikal.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kawasan di Hulu Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas pada jam 5.40 petang tadi.

Henti tugas itu berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan yang berterusan pada hari ini.

Lapan kawasan tersebut ialah Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/ Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.

Air Selangor berkata, tempoh LRA Sungai Selisek beroperasi semula masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan hujan masih belum berhenti dan paras air masih lagi pada paras kritikal.

Katanya, Air Selangor perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik. – MalaysiaGazette