Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) diiringi timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kiri) melakukan gimik pelancaran Majlis Amanat dan Hala Tuju MEDAC 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) akan melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan itu menggariskan tujuan dan langkah-langkah strategi yang komprehensif untuk memastikan gerakan koperasi dapat memberi manfaat yang lebih besar dan menyeluruh kepada kesejahteraan anggota koperasi dan masyarakat.

Ia juga bagi memastikan koperasi lebih berdaya saing, lestari dan mampan.

“Sektor koperasi perlulah berubah dari model perniagaan lapuk kepada model baru dengan menggunakan mentaliti konvensional kepada mentaliti yang progresif dan inovatif.

“Di samping itu, TRANSKOM juga mensasarkan transformasi Institut Koperasi Malaysia (IKM) sebagai satu Institusi Pendidikan Tinggi yang mengkhususkan kepada pendidikan Koperasi dan keusahawanan,” katanya.

Beliau demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Pelancaran Hala Tuju MEDAC 2021 di sini hari ini.

Wan Junaidi menambah, MEDAC akan mempertingkatkan sesi libat urus samada secara atas talian setiap orang yang menghadapi untuk memastikan program-program keusahawanan MEDAC boleh dicapai dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

Jelas beliau, dalam aspek itu, penyampaian maklumat, hebahan dan promosi semua program keusahawanan oleh MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan meluas.

“Matlamatnya bukan hanya untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai inisiatif dan insentif yang disediakan, maklumat tambahan yang tepat dan memudahcara kumpulan sasar mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.

“Sewaktu saya dilantik menjadi Menteri MEDAC tahun lalu, agenda utama saya adalah untuk mempermudah proses dan kerenah birokrasi.

“Justeru, dalam merealisasikan agenda ini kita perlu selalu peka dengan kehendak dan keperluan masyarakat. Kurangkan birokrasi, kurangkan red tape. Sentiasa bersikap mesra kepada pelanggan, usahawan dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette